Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, KAMIL MASLIH, beliau menegaskan, kepentingan untuk imej UMNO kembali dibersihkan dan matlamat hala tuju parti perlu benar-benar disemat oleh setiap ahlinya.
Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar juga menyatakan UMNO perlu menampilkan imej perjuangan yang universal agar tidak terhad kepada mempertahankan hak Melayu dan Islam semata-mata.

Fathul Bari Mat Jahya
Fathul Bari Mat Jahya 

Utusan: Bagaimana Datuk melihat hala tuju yang diletakkan Presiden parti dalam ucapan dasar yang disampaikan?

FATHUL BARI: Keseluruhannya, Presiden menetapkan tujuh teras serta 21 langkah. Cuma, pada pandangan saya, ucapannya terlalu panjang. Bagi saya, soal paling penting adalah bekalan yang diberikan, bukannya soal ucapan panjang yang di­siarkan akhbar. Fokus kita adalah apa perwakilan nak bawa balik, sebab kita bercakap soal untuk memperkasakan semula parti.

Bagi Datuk sendiri, apa perkara paling pokok yang di­nyatakan Presiden UMNO?

Saya tertarik soal Presiden sebut hendak pastikan UMNO sifar rasuah. Itu perkara pokok bagi saya untuk pemulihan imej parti. Dari soal imej, UMNO dikaitkan dengan korupsi, rasuah dan perkara-perkara tidak baik. Pemulihan imej memainkan pe­ranan sangat penting untuk kembalikan kepercayaan rakyat.

Kedua, perjuangan UMNO yang dilihat secara universal. Saya tertarik melihat Presiden memasuki dewan dengan pe­ngiring mewakili budaya ma­sing-masing, ada Melayu, ada Kadazan, ada Dusun, ini yang patut kita gambarkan sejak dari dahulu. Sebagai ahli UMNO, kita kena faham realiti kita bukan dalam kelompok Melayu sahaja, kita dalam kelompok pelbagai kaum dan masyarakat majmuk. Malah, dalam Perlembagaan UMNO tertera jelas, antaranya perkara-perkara memperjuangkan hak keadilan sosial, hak asasi manusia, hak Melayu dan hak bumiputera. Sudah terangkum segala-galanya.

UMNO tidak boleh lari dari­pada teras Islam dan Melayu tetapi apakah kita tidak boleh membela hak bangsa lain, sedangkan ini termaktub dalam Perlembagaan parti. UMNO perlu dilihat universal, tidak boleh Me­layu sahaja, kena lebih dari itu.

Bagaimana Datuk melihat suasana Perhimpunan Agung UMNO kali ini?

Bagi pandangan saya, tidak boleh dinafikan agak suram berbanding dahulu tetapi saya kagum dengan kesungguhan para perwakilan dan ahli yang tetap hadir walaupun dalam kekurangan peruntukan. Mereka datang atas dasar kesedaran dan keikhlasan untuk mende­ngar hala tuju kepemimpinan dan perbahasan perwakilan untuk memulihkan imej parti.

Datuk menduduki jawatan Majlis Tertinggi UMNO dalam keadaan parti tidak lagi berkuasa sebagai kerajaan, apakah teras perjuangan Datuk?

Pertama, dalam situasi sekarang, keutamaan kita adalah me­nguatkan parti dan memulihkan imej. Kita kena memperjuangkan soal nilai-nilai yang mampu menaikkan imej kita seperti antira­suah, hak asasi manusia dan isu sosial. Kedua, kita kena memperjuangkan sifat universal untuk UMNO tidak dilihat assabiyah, rigid, jumud dan taksub. Kita kena terkehadapan dalam isu ini.

Apa pandangan Datuk me­ngenai kerjasama UMNO de­ngan pihak lain termasuk ada yang mengaitkan dengan parti-parti yang menguasai kerajaan ketika ini?

Dari segi hala tuju, kita tidak boleh letak perkara itu sebagai keutamaan. Ada rezeki, ada, tetapi keutamaan bukan itu. Pandangan saya, keutamaan tidak boleh meletakkan untuk UMNO membentuk kerajaan sesegera mungkin.

Kita perlukan parti yang kuat. Rakyat pun tahu dan sedar kerajaan ada sekarang ini rapuh. Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dengan caranya, PKR dengan caranya, DAP dengan caranya, ini kerana parti tiada kekuatan. Kita kena belajar, kita perlukan kekuatan parti kita, baru kita ada pakej kuasa tawar-menawar tetapi sekarang kita ditohmah dan diserang dari pelbagai aspek. Pulihkan imej parti, itu keutamaan, yang lain itu perkara kedua. Kalau perkara lain-lain jadi keutamaan, maka kita telah tinggalkan parti untuk kepentingan lain.