KU ISKANDAR KU SAAD

Namun, bukan senang bagi mereka memperjelaskan maksud tersirat yang ingin disampaikan agar mudah difahami. Seorang finalis Pertandingan Pidato Piala Presiden anjuran Biro Penerangan UMNO, KU IS KANDA R KU SAAD yang juga pemenang pertandingan itu di peringkat Zon Utara berkongsi pandangannya dengan wartawan,
MOHD. SHARIZA ABD ULLAH berhubung perkara berkenaan.

UTUSAN: Bagaimana mahu menajamkan kemahiran penyampaian maklumat?

KU ISKANDAR: Keupayaan menguasai dan memahami sesuatu isu menjadi satu daripada faktor yang dapat membantu seseorang itu menyampaikan maklumat dengan berkesan. Semua ini datang menerusi penge­tahuan. Oleh itu, mereka perlu banyak membaca, membuat kajian dan mendapatkan fakta-fakta daripada pelbagai sumber yang dipercayai di samping meningkatkan keyakinan diri.

Apakah kaedah terbaik yang boleh digunakan?

Saya yakin penggunaan pentas ceramah masih relevan untuk menjelaskan isu kepada ahli selain peranan organisasi media. Diakui kaedah ini agak konvensional tetapi perlu dimasukkan elemen-elemen baharu seperti persembahan slaid, video, gambar rajah, pendekatan dua hala dan grafik pasti menjadikan penerangan itu lebih menarik serta memberi kefahaman kepada ahli. Sekarang konsep yang terkenal ialah townhall iaitu orang ramai dijemput hadir untuk berdialog dan bertanyakan sebarang persoalan.

Apakah langkah yang boleh dilakukan bagi menepis persepsi negatif terhadap UMNO?

Kelemahan UMNO ialah menguruskan persepsi. Sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, parti perlu menjelaskan isu berbangkit dalam tempoh 48 jam. Jika tidak, rakyat akan fikir isu berkenaan adalah benar. Selain itu, elak memberikan jawapan dalam banyak versi kerana akan mengelirukan rakyat selain mengelak mengeluarkan kenyataan kontroversi yang boleh menyulitkan lagi keadaan. Yang penting, jentera penerangan parti perlu didedahkan dengan informasi tepat bagi menangani serangan berbentuk persepsi terhadap UMNO.

Apakah tindakan yang telah diambil?

Dalam soal ini, parti telah mengambil tindakan proaktif misalnya menganjurkan pertan­dingan Pidato Piala Presiden dan menubuhkan kelab pidato di 191 bahagian UMNO. Bagaimanapun, lebih 500 pemidato yang dilahirkan itu perlu melalui proses pentarbiahan dan pengkaderan parti bagi memantapkan roh perjua­ngan dalam diri masing-masing. Biro Penerangan dan Biro Latihan UMNO berkolaborasi menjayakan matlamat itu.

Sikap yang perlu ada dalam diri perwakilan?

Keikhlasan dalam perjuangan. Ikhlas menterjemahkan erti perpaduan demi pengukuhan parti dan letak ke tepi kepentingan diri. Pada masa sama, berjiwa besar dan berlapang dada dalam me­raikan perbezaan pendapat. Insya-Allah UMNO mampu menghadapi setiap cabaran mendatang.