Hafarizam Harun
Hafarizam Harun

Menurut penasihat undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun, ‘kuasa rizab’ itu adalah di bawah Seksyen 13A (4) Akta Pertubuhan 1966 yang membenarkan ROS untuk mempertimbangkan mana-mana permohonan penangguhan pemilihan daripada NGO dan parti politik.

Beliau mengakui, di bawah Fasal 10.16 dalam Perlembagaan UMNO, Majlis Tertinggi UMNO berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan tetapi tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh yang sepatutnya.

“Berdasarkan daripada tempoh tersebut, pemilihan UMNO perlu diadakan pada April ini, namun parti tersebut telah mengemukakan permohonan lanjutan penangguhan kepada ROS hujung tahun lalu bagi memastikan kemantapan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).‎

“Alhamdulillah ROS mempunyai budi bicara yang baik terhadap permohonan UMNO dan meluluskan penangguhan pemilihan parti sehingga April tahun depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin dan penyokong pembangkang yang sengaja mewujudkan persepsi di media sosial dengan mempertikaikan mengenai lanjutan pemilihan UMNO.

Mengulas lanjut, Hafarizam berkata, tidak timbul soal ROS melangkaui Perlembangan UMNO kerana badan di bawah Kementerian Dalam Negeri itu mempunyai hak untuk menggunakan kuasa mereka terhadap mana-mana permohonan yang diterima.

Jelas beliau, parti-parti politik dan NGO juga boleh memohon lanjutan penangguhan tersebut, kerana ia bukan istimewa untuk UMNO atau Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Seterusnya bergantung pada budi bicara ROS, sama ada ingin meluluskannya atau menolak,” katanya. - UTUSAN ONLINE