Menurut beliau, UMNO kini bersikap sensitif terhadap realiti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan sudah pasti akan menyesuaikan diri demi memastikan parti itu terus relevan.

Tengku Razaleigh membe­ritahu, sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia telah mencapai tahap kematangan yang membanggakan justeru menuntut kematangan politik dalam kalangan pemimpin UMNO.

“Demi memastikan parti ini terus relevan, UMNO di bawah kepemimpinan saya akan membuat perubahan penyesuaian jikalau dianggap perlu.

“Sebagai pengamal politik sejak menjadi ahli UMNO pada 1962, tidaklah keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa saya amat faham akan selok-belok politik kepartian dan politik pe­ringkat kebangsaan. Kepada saya, ini merupakan satu-satunya ujian sekiranya seseorang itu ingin menawarkan dirinya bagi tugas kepemimpinan,” katanya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li berkata demikian dalam sidang akhbar di kediamannya 
di Jalan Langgak Golf, di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sebelum ini, pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan akan bertanding jawatan itu.

Dalam pada itu, jelas Tengku Razaleigh, keputusannya menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dibuat selepas meneliti kedudukan UMNO dan memperhalusi akan implikasi keputusan yang dibuat terutama mengenai soal kepemimpinannya.

“Saya membuat keputusan ini demi kepentingan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik nasional yang mendukung hasrat kebangsaan untuk menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian kaum sebagai gelegar dan teras negara. Sebagai sebuah parti politik kaya dengan pengalaman, saya yakin dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi tersebut,” katanya.

Tengku Razaleigh menambah, tidak akan wujud sebarang pakatan atau kem dalam kalangan calon yang bertanding menjelang pemilihan UMNO hujung bulan ini.

“Kami tidak ada buat apa-apa pakatan, semuanya yang bertanding adalah pasukan UMNO,” katanya.