Pengerusi Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM, Datuk Dr. Syed Ali Alattas berkata, tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana mereka yang berada dalam UMNO dan MCA semasa memerintah berbuat demikian dengan memperalatkan status bumiputera.

Beliau yang juga Yang Dipertua DPMM Johor mendakwa, mereka mendapat projek kerajaan sama ada dengan menjalankannya secara usaha sama dengan bukan bumiputera atau menjualnya kepada pihak lain termasuk dari luar negara.

“Hakikatnya tidak sampai tiga peratus kontraktor Melayu di bawah DPMM mendapat kontrak kerajaan dan sebenarnya (projek kerajaan) dikuasai kroni-kroni UMNO dan MCA.

“Mereka ini telah menghina dan merosakkan nama Melayu. Sebelum ini di mana-mana orang marah kepada kita (DPMM) kononnya kita ambil semua (kontrak kerajaan) dan mereka (usahawan bukan bumiputera) dianggap sebagai kelas kedua, ini tidak betul,” katanya.

Bekas Presiden DPMM dari 2007 hingga 2017 itu berkata demikian dalam sidang akhbar di Bangunan DPMM Johor, Larkin Jaya, di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE