MAHDZIR KHALID

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar) berkata, kehadiran hanya 1,356 atau 53.94 peratus perwakilan pada pemilihan semula CEC parti itu juga dilihat memberi isyarat bahawa kepemimpinan DAP tidak mendapat sokongan.

“Perkara ini berkemungkinan mereka tidak percaya sesama sendiri. Bayangkan daripada lebih 2,000 perwakilan, yang hadir dalam 1,000 sahaja. Saya ingat ahli sendiri pun tidak percaya terhadap kepemimpinan.

“Adakah ini satu krisis ketidakpercayaan? Ya. Saya ingat begitulah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara 2017 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2), di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kemerosotan kehadiran perwakilan iaitu 1,356 atau 53.94 peratus berbanding 2,514 orang perwakilan DAP yang layak mengundi dalam pemilihan semula CEC parti itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), Selangor.

Jumlah tersebut diumumkan oleh wakil firma perunding Grant Thornton yang turut memaklumkan kemerosotan kehadiran yang tinggi berbanding 1,725 perwakilan yang mengundi dalam pemilihan CEC DAP pada 2013.