Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pemberontakan dalaman itu dipercayai berpunca daripada kewujudan beberapa kem kepe­mimpinan parti itu selain keengganan pucuk pimpinan mereka mengiktiraf Anina Saadudin sebagai Ketua Srikandi dan hingga saat ini sayap srikandi mereka masih gagal ditubuhkan secara sah.

Menurutnya, perkara itu jelas membuktikan pemimpin PPBM sedia ada masih belum mampu menunjukkan nilai kepemimpinan yang tinggi ketika berhadapan dengan sesuatu kemelut dan krisis.
“Tindakan pimpinan PPBM yang dilihat me­lantik ‘orang luar’ untuk memimpin sesebuah kawasan juga boleh disimpulkan bahawa mereka sudah ketandusan pemimpin dan terpaksa me­lantik pemimpin ‘tangkap muat’ sahaja.

“Keghairahan pemimpin mereka yang sentiasa ingin mengete­ngahkan ‘nama-nama besar’ ter­nyata memakan diri apabila nama besar tersebut tidak mempunyai pengalaman serta tiada pendedahan yang cukup untuk memimpin sesebuah pertubuhan politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Biarpun baru enam bulan dilancarkan, PPBM Baling seakan-akan sudah goyah apabila 60 ahli kawasan itu mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.

Bekas ahli parti itu turut mendakwa kira-kira 500 daripada 800 ahli PPBM kawasan tersebut akan mengikut jejak mereka tidak lama lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya yakin barisan kepe­mimpinan PPBM juga sudah mempunyai skrip standard bagi memperjelaskan krisis berkenaan.

Menurut beliau, sudah tentunya mereka akan membuat tuduhan dan tohmahan kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang membeli ataupun menjamu ‘dedak’ bagi mempengaruhi ahli PPBM supaya me­ninggalkan parti mereka.

“Nasihat kami kepada pim­pinan PPBM, bermuhasabah dan nilailah kebolehan diri sendiri dahulu sebelum menyalahkan orang lain. Hakikatnya, krisis terbaharu PPBM ini adalah gambaran awal kerajaan yang bakal dibentuk sekiranya mereka menang dalam pilihan raya umum nanti.

“Rakyat perlu sedar pilihan raya bukanlah satu ujian atau eksperimen, tetapi lebih kepada pemilihan sebuah kerajaan yang mampu memerintah dan stabil, bukannya kerajaan yang berasaskan dendam serta tidak berupaya mengendalikan krisis dalamannya sendiri,” katanya.