HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

Menteri dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sikap yang ditunjukkan oleh DoJ dalam mengendalikan isu mengenai 1MDB amat mengecewakan kerana secara tidak langsung membiarkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan bagi memburukkan imej pemimpin negara.


“Saya mahu nasihatkan DoJ, jika mempunyai bukti-bukti yang kukuh, dakwalah dan jangan sekadar keluarkan kenyataan-kenyataan sahaja tanpa mengambil tindakan. Jika ada dakwaan di mahkamah, orang yang didakwa itu boleh tampil untuk membersihkan nama mereka.


“Kalau sekadar mengeluarkan kenyataan sahaja tanpa mengambil tindakan, kredibiliti mereka boleh dipertikaikan,” katanya semasa sidang akhbar selepas hadir ke perjumpaan bersama setiausaha-setiausaha UMNO bahagian di sini hari ini.


DoJ masih gagal memohon kerjasama kerajaan Malaysia dan 1MDB sebelum memfailkan tindakan sivil rampasan aset yang didakwa berkaitan dengan syarikat pelaburan strategik itu.


Hishammuddin pada masa yang sama berkata, isu mengenai sikap DoJ yang tidak bertanggungjawab itu berada di luar kawalan kerajaan Malaysia dan percaya rakyat akan menilainya sendiri.-UTUSAN ONLINE