SHAHBUDIN EMBUN

Pengerusi Biro Politik, Maj­lis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun berkata, kos sara hi­dup rakyat akan menjadi agenda kempen pihak pembangkang selepas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilihat lapuk dan tidak memberi kesan terutama kepada pengundi luar bandar.

“Mereka akan terus memainkan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan akan memutarbelitkan isu tersebut sehingga tujuan akhirnya adalah untuk mempengaruhi rakyat.

“Tawaran dalam manifesto pembangkang untuk menghapuskan GST juga akan dijadikan modal kempen mereka. Saya meminta gabungan pembangkang itu menjelaskan apakah tawaran mereka untuk menggantikan GST sebagai satu sistem percukaian di negara ini agar akhirnya rakyat tidak tertipu dengan janji-janji politik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas program Forum Nasional MPM-Kumpulan Utusan 2018 di Wisma MPM (Bina Daulah), di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, kerajaan perlu memastikan kenaikan kos sara hidup tidak berlaku secara berterusan sehingga rakyat terbeban sekali gus memberi kesan politik.

“Apa yang penting, sejauh mana kerajaan berjaya menangani isu ini dengan melaksanakan transformasi ke arah menjana ekonomi masyarakat.

“Menjadi cabaran ke­­pa­­da kerajaan un­­tuk memastikan per­kembangan ekonomi negara yang dapat memberi ruang kepada rakyat mening­katkan pendapatan seperti membuka peluang pekerjaan dan mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Shahbudin, masyarakat sebagai individu perlu juga mengambil langkah masing-masing bagi menangani kesan kos hidup yang semakin meningkat.

“Kami mencadangkan beberapa langkah untuk dipraktikkan oleh rakyat antaranya ialah sentiasa membuat perbandingan harga; menyenaraikan terlebih dahulu sesuatu yang ingin dibeli; membeli ketika diadakan tawaran harga; mengutamakan barangan tempatan serta mengelak daripada membeli barang yang tidak diperlukan.

“Setiap individu mesti memahami bahawa kenaikan kos sara hidup juga adalah berpunca daripada sikap boros berbelanja. Oleh itu mereka perlu mempunyai kesedaran dalam ilmu kepenggunaan kerana dengan cara itu dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup,” katanya.