Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, minda tertutup Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam masa sama turut membayangkan sikapnya yang tidak mahu melihat Malaysia maju ke hadapan.

“Saya pun tidak faham kenapa Kor Ming berfikiran demikian mungkin beliau berada di satu zaman yang sangat berbeza yang tidak mengetahui perkembangan semasa yang berlaku.

“Kita sudah bergerak jauh ke hadapan dari segi rakyat dan hubungan antara masyarakat di Malaysia, kenapa beliau berfikir dalam bentuk yang begitu negatif dan sinis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program ‘MB Mari Kampung Kita’ sempena Siri Jelajah Bajet 2019 Daerah Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Yang hadir sama, isterinya, Tuan Faizah Tuan Abd. Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pegawai Kewangan negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.

Baru-baru ini Kor Ming dalam satu majlis di Taiping, Perak dilaporkan berkata, kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah belahkan rakyat.

Bagaimanapun, kenyataannya mendapat kecaman pelbagai pihak kerana didakwa menanam semangat kebencian dan mengganggu keharmonian kaum di samping meniup api kebencian serta menakutkan masyarakat bukan Islam dengan gambaran tersebut. - UTUSAN ONLINE