Ketegasan itu disuarakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sekaligus memberikan bayangan beliau amat kecewa dengan apa yang berlaku, yang dilihat banyak pihak sebagai manipulasi.

Ini selepas wujud gesaan terbuka serta sokongan secara tidak langsung oleh kumpulan penentang Mohamed Azmin agar ahli PKR di Julau memberi sokongan kepada Rafizi Ramli bagi membolehkan kelebihan undi bekas Menteri Besar Selangor itu di atasi.

"Ini satu perkara yang tidak boleh diketepikan, masalah dibangkitkan itu masalah serius yang boleh menjahanamkan parti.

"Sebab itu, kita mendesak Setiausaha Agung (Datuk Saifuddin Nasution Ismail) dan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) ambil serius pandangan ini kerana bukti dikemukakan itu terlalu kukuh dan tidak boleh untuk diketepikan begitu saja.

"Keadilan (PKR) membicarakan soal reformasi, kita menegur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi kita juga harus melakukan muhasabah, sebab itu JPP harus ambil serius perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu beliau hadir mendengar Taklimat Pembangunan Selangor, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE