Bermula dengan komplot rancangan Langkah Kajang dan pemecatan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2014, PKR terus dilanda dengan berbagai kemelut yang dilihat tidak akan selesai sampai bila-bila.

Bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Ruslan Kassim berkata, selepas hampir tiga tahun, tiang kekuatan parti yang menggunakan simbol logo mata lebam Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal roboh bila-bila masa berikutan amalan berpuak dalam kalangan pemimpin PKR yang menebal.

“Saya jangka apabila semakin dekat dengan tarikh penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu pada 28 April ini, keretakan dalam PKR akan semakin menyerlah dengan masing-masing berpaling tadah.

“Ibarat perumpamaan Melayu, setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah nasib semua pemimpin dalam PKR yang dahulunya rakus menggunakan strategi politik kotor semata-mata untuk berkuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas spekulasi mengenai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan menyenarai pendek seramai lapan calon PKR untuk bertanding pada PRU-14, namun dipercayai ditolak oleh Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Berikutan itu, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin didakwa bertemu Wan Azizah pagi tadi di kediamannya di Segambut untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Tambah Ruslan yang juga Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Wan Azizah pasti akan menggunakan kuasa veto terhadap Mohamed Azmin selepas beliau gagal menjadi Menteri Besar Selangor, walaupun menang dan berjaya diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

“Sudah tentu Wan Azizah akan melakukan apa sahaja kerana desas-desus mengatakan Datuk Seri Mohamed Azmin akan turut merebut jawatan Presiden dalam pemilihan PKR akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE