Khairy dalam hantaran di akaun Twitter miliknya juga mengingatkan semula tentang janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bahawa tiada lantikan politik untuk menerajui syarikat milik kerajaan (GLC), sebaliknya ahli lembaga pengarah dipilih dalam kalangan golongan profesional.

Malah, Khairy turut mendakwa kerajaan telah memungkiri janjinya sendiri sejak diberi mandat pada 10 Mei lalu.

“Tidak akan ada lantikan politik oleh PH dalam GLC.

“Malaysia baharu... Mungkir janji sejak 10 Mei 2018,” katanya hari ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan dua ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu iaitu Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai Pengerusi Mara Corporation Sdn. Bhd.

Menurut Rina, pelantikan berkenaan telah pun mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Selain itu, Rina turut mengumumkan pelantikan peguam, Haniff Khatri Abdullah sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah. - UTUSAN ONLINE