Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Ahli Parlimen Gelang Patah itu tidak perlu menyamakan UMNO dengan parti pimpinannya DAP serta Pakatan Harapan yang sentiasa mengikut segala arahannya.

Malah beliau berkata, kenyataan tersebut adalah cara untuk Kit Siang mengalihkan pandangan orang ramai serta melindungi rasa paniknya terhadap isu skandal tukaran wang asing (forex) yang berlaku di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Apa yang cuba dilakukan oleh Kit Siang ini adalah kerana dia telah terjebak dengan situasi sebelum ini di mana dia yang menuntut Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kerana waktu itu dia ingin menjatuhkan Dr. Mahathir.

“Walau bagaimanapun, apabila RCI setuju dilaksanakan dan penemuan mengesahkan dakwaannya, ia tidak membawa keuntungan kepadanya kerana waktu ini Kit Siang ingin memperalatkan Dr. Mahathir.

“Beliau (Kit Siang) mendapati siasatan forex akan memakan dirinya sendiri,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan [email protected] Ketereh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Kelmarin portal pro pembangkang melaporkan Kit Siang mendesak Kabinet menolak jemputan Presiden AS, Donald Trumph untuk Najib melawat Rumah Putih pada bulan depan kerana mendakwa Perdana Menteri sedang disiasat Jabatan Kehakiman (DoJ) negara itu.

Dalam pada itu, Annuar berkata, DAP juga telah cuba memanipulasi cerita kononnya kerajaan AS telah membuat dakwaan terhadap Najib melalui DoJ.

“Itu adalah skrip yang cuba dibina oleh pembangkang, walhal DoJ adalah berdasarkan aduan awam. Tiada satu mahkamah pun di AS membuat pembentangan dan proses undang-undang belum lagi berjalan.

“Dia mereka cerita seolah-olah AS telah melabelkan kerajaan Malaysia sedemikian, sedangkan dalam siasatan DoJ tidak menyebut langsung Najib adalah orang yang disiasat,” katanya.

Tambah beliau, bagaimanapun apa yang berlaku sebaliknya apabila AS telah mengundang Perdana Menteri untuk lawatan rasmi ke negara itu. - UTUSAN ONLINE