Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun berkata, tuduhan yang datang daripada seorang pemimpin yang akan berbuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasanya dalam parti menunjukkan keseluruhan senario hipokrasi DAP yang sebenar.

“Adakah tindakan Kit Siang mempertimbangkan untuk ‘me­ninggalkan’ pengundi Gelang Patah semata-mata untuk kawasan baharu bukan satu langkah politik?

“Adakah tindakan beliau untuk menyingkirkan mana-mana ahli DAP yang tidak bersetuju dengan beliau adalah bukan langkah politik?,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Kit Siang dalam kenyataannya mendakwa pelantikan Hishammuddin sebagai langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengukuhkan kuasanya dengan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu rampasan kuasa yang dilakukan semata-mata untuk melindungi Najib.

Khairul Azwan turut mempertikaikan tindakan Kit Siang yang selama ini berdiam diri mengenai kelemahan parti itu termasuk tindakan mereka yang selalu menyentuh isu-isu perkauman yang sangat sensitif.

“Bukankah anda seorang yang hipokrit apabila anda bercakap mengenai kemajuan tetapi berdiam diri apabila ahli anda mengeluarkan kenyataan perkauman?

“Bukankah tindakan Kit Siang berdiam diri apabila anaknya yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhadapan tuduhan rasuah adalah satu langkah politik?,” soalnya.

Tambah Khairul Azwan, pelantikan Hishammuddin sebenarnya merupakan bukti sumbangan beliau dalam mengukuhkan hubungan dua hala negara dengan negara-negara luar.

“Kementerian Pertahanan kita telah dipuji dalam pelbagai platform antarabangsa melalui dasar diplomasi yang beliau laksanakan dalam bidang anti-keganasan dan kerjasama serantau,” katanya.

Menurut Khairul Azwan lagi, bagi seorang pemimpin paling lama dalam Parlimen yang memegang jawatan tertinggi DAP selama 45 tahun, adalah sangat menyedihkan apabila apa yang Kit Siang tawarkan kepada pengundi selama ini hanyalah konspirasi dan ‘fear mongering’ (ketakutan awam).

“Ketakutan anda untuk mengatakan bahawa ahli DAP sebagai antiperkauman membuktikan bahawa anda adalah seorang rasis dan tindakan anda menyingkirkan ahli DAP yang mengkritik kepemimpinan anda menunjukkan anda adalah seorang diktator,” katanya.