IRMOHIZAM IBRAHIM
IRMOHIZAM IBRAHIM

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, apabila dibandingkan dengan negara luar yang mengamalkan demokrasi, sudah pasti Perdana Menteri dilantik dalam kalangan komponen parti yang memiliki kerusi terbanyak dan dominan dalam Parlimen.

Katanya, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu, pembangkang memenangi 89 kerusi dengan 38 daripadanya adalah milik DAP manakala PKR memenangi 30 kerusi.

“Jika Kit Siang layak sekalipun menjadi Perdana Menteri, adakah rakyat dan negara ini akan aman? Jika kita merujuk pentadbiran di Pulau Pinang, DAP selalu berahsia dalam semua urusan, seolah-olah rakyat tidak berhak mengetahui apa-apa. Anak-anak muda yang mementingkan ketelusan sudah pasti akan mempersoalkan hak mereka.

“Rakyat sendiri pun boleh keliru melihatkan kejanggalan dalam struktur Pakatan Harapan yang sepatutnya dikemudikan oleh DAP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Irmohizam mengulas kenyataan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Prof. Dr. P. Ramasamy yang bersuara mengenai kewajaran Kit Siang menjadi Perdana Menteri, jika Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan kedua-dua pemim­pin itu seolah-olah mencerminkan hasrat DAP yang sebenarnya mahukan Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri.

Tambah Irmohizam, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lebih demokrasi dan mempunyai jaminan yang tinggi terhadap kesejahteraan rakyat serta negara.

Katanya, kejayaan BN juga didokong dengan laporan dari Bank Dunia bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul.