Timbul pula ura-ura Lim Kit Siang yang juga Penasihat DAP akan berhijrah ke kawasan Parlimen lain dalam PRU-14.

Ada kemungkinan Parlimen Tanjong di Pulau Pinang yang pernah dimenanginya dalam PRU-7 kembali menjadi lokasi persinggahan beliau yang seterusnya.

Sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, kasihan pula dengan nasib pengundi-pengundi di Ge­lang Patah yang memberi kepercayaan kepada Kit Siang sebelum ini, umpama habis madu sepah dibuang pula.

Para pengundi di Gelang Patah tidak bersendirian kerana bukan mereka sahaja yang ditinggalkan oleh Kit Siang yang gemar berpindah-randah umpama kaum nomad sepanjang lebih 50 tahun menjadi ahli politik.

Sejak 1969, Kit Siang pernah menjadi wakil rakyat di enam kerusi Parlimen iaitu Parlimen Bandar Melaka, Kota Melaka (dua kali iaitu pada PRU-4 dan PRU-6), Petaling Jaya, Tanjong, Ipoh Timur dan Gelang Patah.

Percaturan politik yang diamalkan Kit Siang juga mudah. Di mana ada sokongan, di situ be­liau menjadi calon payung terjun.

Kemudian, selepas sokongan semakin berkurangan, Kit Siang meninggalkan pengundi-pengundinya dan menabur janji manis di kawasan lain pula.

Dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen semalam, ketika ditanya sama ada beliau akan kekal di Parlimen Gelang Patah atau beralih angin ke Parlimen Tanjong, tiada jawapan konkrit yang diberikannya.

“Saya di mana-mana, bila hari kejadian (pilihan raya umum) baru tahu,” katanya.

Kepada pengundi-pengundi di Parlimen Gelang Patah, bersiap sedialah untuk menerima kemungkinan Kit Siang akan pergi meninggalkan mereka.