Noh yang juga Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ber­kata, sebelum ini, apabila berlaku tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September lalu, Kit Siang dengan pantas menunding jari me­nyalahkan kerajaan dan men­desak beliau selaku Menteri bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan.

“Kit Siang ini saya lihat sentiasa cari peluang untuk politikkan isu, dulu bila pusat tahfiz terbakar dia tekan saya, kata saya kena letak jawatan dan bertanggungjawab.

“Sekarang Tuhan Maha Kaya, berlaku di negeri anak dia (Pulau Pinang), saya cabar Kit Siang suruh anak dia (Guan Eng) letak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab atas kejadian tanah runtuh ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Media di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.57 pagi kelmarin, seramai 11 mangsa tertimbus ketika sedang bekerja di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai.

Noh menambah, kementerian­nya telah mengedarkan Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi kepada semua kerajaan negeri termasuk Pulau Pinang.

Malah, menurut beliau bantahan terhadap pelaksanaan projek telah disuarakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

“Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mengguna pakai garis panduan tersebut dengan alasan mereka mempunyai garis panduan sendiri iaitu Safety Guideline for Hillsite Development Site 2012.

“Mungkin garis panduan yang disediakan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang lebih terperinci atau mungkin juga tanah tinggi di Pulau Pinang tidak sama,” katanya dalam nada sinis.

Selain Pulau Pinang, Noh memberitahu, kerajaan PKR Selangor serta kerajaan Pas Kelantan juga didapati tidak mengikut garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Jika berlaku apa-apa jangan salahkan kita sebab garis panduan yang telah diedarkan tidak diguna pakai,” ujarnya.