Memandangkan penyebaran berita-berita palsu berjaya mencipta persepsi buruk terhadap kerajaan dan membantu pembangkang membolot banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, sudah pasti usaha mewujudkan undang-undang itu amat mengecewakan Kit Siang.

Bagi Tunku Abdul Aziz, kenya­taan Kit Siang yang turut disiarkan di portal propembangkang, Malaysiakini yang mengkritik usaha memperkenalkan undang-undang itu disifatkan sebagai mementingkan diri dan parti sahaja tanpa mempedulikan impak penyebaran berita-berita palsu kepada rakyat.

“Jika beliau sendiri mengkritik kerajaan dalam hal ini, sudah pasti rakyat boleh mempersoalkan adakah Kit Siang sebenarnya mahu melindungi tentera siber pembangkang atau Red Bean Army yang dikatakan sangat membantu mereka pada pilihan raya umum lalu?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, Penasihat DAP tersebut turut mengaitkan undang-undang yang dicadang diperkenalkan itu berisiko menyekat hak kebebasan bersuara, namun tidak menyentuh mengenai penyebaran be­rita-berita palsu dan fitnah yang turut popular dalam kala­ngan penyokong-penyokong atau media sosial milik pembangkang.

Tunku Abdul Aziz berkata, Kit Siang sepatutnya menunjukkan kematangan dengan mendesak para penyokong pembangkang supaya tidak menyebarkan berita-berita palsu dan bukannya menghentam kerajaan yang berusaha memperkenalkan undang-undang bagi menjaga keharmonian negara.

“Penyebaran berita-berita pal­su dan berbentuk provokasi dilihat semakin tidak terkawal sejak akhir-akhir ini dengan tujuan meme­nuhi agenda politik masing-masing.

“Sepatutnya Kit Siang perlu lebih matang untuk memainkan peranan membantu menghentikan gejala buruk ini dan bukannya memperlekehkan usaha kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, bekas Ketua DAP Cawangan Pantai Sepang Putra, R. Vellasamy berkata, kenyataan Kit Siang sedemikian bukan sesuatu yang pelik kerana baginya semua usaha kerajaan perlu dibangkang.

Malah jelasnya, Penasihat DAP ketika ini cuba mencari populariti sebagai juara rakyat untuk menjatuhkan kerajaan sedangkan niat sebenar adalah untuk mendapatkan kuasa termasuk bantuan tentera siber pembangkang.