Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat beberapa cadangan yang diberi individu tidak bernama kepada media tersebut untuk mengatasi masalah RM4 bilion itu.

“Cadangan tersebut adalah Tabung Haji perlu mengisytihar dividen yang jauh lebih rendah pada tahun ini untuk mengurangkan jurang RM4 bilion sedangkan pasaran saham serta ekonomi berada dalam prestasi buruk selepas pilihan raya lalu sekaligus memberi kesan kepada dividen nanti.

“Saya jangkakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan gunakan kisah RM4 bilion ini sebagai alasan untuk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mengisytihar dividen yang rendah untuk Tabung Haji,” katanya dalam status dalam Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Najib turut mempertikaikan media milik kerajaan Singapura itu yang mendakwa ada pemalsuan akaun bagi membolehkan Tabung Haji membayar dividen lebih tinggi berbanding tahun-tahun lalu.

Menurutnya, Tabung Haji di bawah kerajaan PH terpaksa membayar dividen yang sangat rendah tahun ini kerana kerajaan BN sebelum ini membayar dividen lebih tinggi bagi tahun-tahun lalu.

“Jalan yang paling mudah adalah reka satu cerita untuk menyalahkan kerajaan BN,” katanya. - UTUSAN ONLINE