Mohamed Azmin Ali

Sepanjang kisah­nya, Joker sentiasa mendampingi perjalanan cerita Batman tetapi sekitar tahun 1950-an, karektor watak Joker diubah, daripada jahat dan sangat kejam kepada nakal serta suka mengenakan orang lain.

Joker juga digambarkan sebagai orang yang gila kuasa dan disebabkan sifat itu kerjasama­nya dengan beberapa penjahat lain seperti Peguin, Two-Face, Injustice Gang dan Injustice League tidak pernah kekal lama.

Itu kisah Joker dalam cerita Batman tetapi sejak semalam, Joker juga muncul dalam suasana politik Selangor yang ketika ini suhu politiknya tengah menggelegak berikutan perang mulut secara terbuka antara PKR dan PAN.

Individu yang dilabelkan sebagai Joker bukan sebarangan orang, tetapi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pihak yang memanggilnya dengan watak negatif itu adalah Pengerusi PAN negeri, Izham Hashim.

Sekalipun hari ini, Izham menjelaskan bahawa istilah Joker itu bukannya bermaksud badut tetapi lawak, dia tidak pula menarik balik kenyataan yang menyifatkan Mohamed Azmin tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor.

Kenyataan itu pula bukannya dibuat orang luar atau pemimpin Barisan Nasional (BN) tetapi rakan sekutu Mohamed Azmin sendiri dalam Pakatan Harapan dan tentunya orang yang paling rapat adalah cerminan terbaik kepada sisi seseorang.

Hakikatnya, apa sekalipun label yang dipalitkan antara satu sama lain dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan, terbukti pakatan itu penuh dengan kekalutan dan sekiranya memiliki kuasa memerintah, pastinya ia mimpi ngeri kepada sebuah kestabilan politik.

Apa pun, kisah politik yang berlaku dalam Pakatan Harapan di Selangor saling tidak tumpah jalan ceritanya dengan perangai sebenar Joker, iaitu berkisar kepada persoalan gila kuasa dan usaha 'menikam' antara satu sama lain.