Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, parti-parti komponen BN sentiasa komited dalam usaha membantu meringankan beban rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka menerusi pelbagai program ‘turun padang’ yang dilakukan dari semasa ke semasa.

“Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) merupakan antara program yang kita anjurkan untuk mendekati rakyat dan membantu mereka mengurangkan beban kerana boleh membeli barang pada harga murah dan berpatutan berbanding harga pasaran.

“Kita jalankan program ini bukan disebabkan pilihan raya semakin dekat tetapi lebih kepada komitmen membantu rakyat dan ini berbeza dengan pembangkang kerana waktu-waktu begini baharu mereka turun padang, sedangkan kita sudah lama mendampingi rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyam­paikan sumbangan kepada penerima sempena PJSR di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Rizalman berkata, pihak­nya kini menggandakan usaha membantu dan mendekati rakyat sejajar dengan fokus utama BN untuk membantu menangani kenaikan kos sara hidup.