Memetik laporan portal Malaysiakini, Kit Siang berkata, barisan kepemimpinan MCA telah mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab kerana cuba menanam kebencian dalam kalangan rakyat terhadap pemimpin DAP.

“Bagaimana begitu rendahnya cubaan MCA untuk mendapatkan semula sokongan politik? Pemimpin DAP tidak pernah menafikan kaum kami tetapi sama ada orang Cina, Melayu, India, Kadazan atau Iban, kita adalah rakyat Malaysia.

“Kita memperjuangkan hak dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng adalah pemimpin politik yang pernah dipenjarakan kerana mempertahankan kehormatan dan maruah seorang gadis Melayu bawah umur pada tahun 90-an,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu, Hang Soon semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA hari ini mendakwa DAP mengkhianati kaum Cina selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Semasa menyampaikan ucapan itu, MCA turut menayangkan video yang memaparkan dua gambar Guan Eng dengan petikan ‘Saya bukan Cina’ dan ‘Saya rakyat Malaysia’.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum berbeza dan masyarakat berbilang kaum perlu bersatu untuk mewujudkan Malaysia baharu yang bersatu, demokratik, bersih, adil, progresif dan makmur.

Kata Kit Siang, beliau mahu MCA melakukan permohonan maaf kepada DAP kerana mengeluarkan kenyataan tersebut esok. - UTUSAN ONLINE