Walau bagaimanapun, beliau menyedari pelantikan tersebut telah mengundang banyak persoalan dalam kalangan pemimpin UMNO Perlis.

Atas sebab itu, Mohamed Khaled menyerahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan rasional pelantikan beliau kepada pimpinan UMNO Perlis dalam masa terdekat.

“Harapan saya ialah pencerahan daripada Presiden ini akan segera dapat dilakukan agar tidak tertangguh lagi usaha pembaharuan UMNO pasca Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor menyeru semua ahli dan pendukung UMNO Johor untuk memberikan kerjasama dan komitmen yang lebih baik kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Beliau yakin Hasni mempunyai iltizam dan perancangan terbaik bagi membawa UMNO menjadi lebih baik, diyakini dan dihormati.

Katanya, dengan pengumuman pelantikan jawatan utama parti oleh Ahmad Zahid, beliau berharap semua yang terlibat dapat memulakan kerja masing-masing dengan segera untuk membangunkan semula kewibawaan UMNO.

“Insya-Allah menerusi dukungan semua pihak, kita akan dapat mencari ikhtiar terbaik untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah gerakan politik orang Melayu yang kuat, dihormati dan berupaya memberikan sebanyak mungkin kebaikan kepada semua.

“Saya juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor serta seluruh ahli dan penggerak UMNO Johor, atas segala komitmen, kerjasama, sumbangan dan kerja keras yang ditunjukkan sepanjang saya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor,” katanya. - UTUSAN ONLINE