Ketuanya, Khairy Jamaluddin mengarahkan kesemua perwakilan yang hadir pada perhimpunan agung sayap itu supaya pulang ke kawasan masing-masing untuk menyingsing lengan mempertahankan apa yang ada di tangan.

Malah, beliau memberi jami­nan setiap ‘tentera’ Pemuda UMNO akan diberikan ‘peluru’ yang secukupnya untuk masuk ke medan perang.

“Kita balik ke kawasan cari mereka (pengundi muda lelaki) dan pastikan mereka undi UMNO. Jangan risau paip itu takkan bocor dan pecah. Paip itu kita akan buka seluas-luasnya.

“Saya bagi arahan supaya balik berperang, tak mungkin Brigedier Jeneral suruh balik berperang tanpa peluru yang cukup,” katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.

Dalam masa sama, Khairy meminta supaya jentera Pemuda tidak hanya memberi tumpuan kepada tugas hakiki, Briged Tempur seperti menggantungkan poster dan bendera tetapi juga kepada tanggungjawab baharu di bawah JR Plus.

Katanya, jentera Pemuda harus menjejaki pengundi muda lelaki bagi memastikan mereka mengundi Barisan Nasional dalam PRU-14.

“Kita diberi tugas baru di ba­wah JR Plus, nama yang diberikan oleh strategik Pemuda ialah Ops Jejak untuk menjejaki 1.9 juta pengundi muda lelaki.

“Apa yang saya minta bukan perkara terlalu rumit atau besar jatuh bangun menang kalah PRU- 14 akan ditentukan oleh seorang petugas menjaga 30 pengundi sahaja,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas perhimpunan agung tersebut, beliau berkata, pihaknya berharap lebih 40 wakil Pemuda dicalonkan untuk mewakili BN pada pilihan raya umum nanti.