Khairy Jamaluddin

Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan memberitahu, buat masa sekarang beliau mahu berehat dan tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu.

“Itu (ketua pembangkang) akan diputuskan oleh Ahli Parlimen tetapi buat masa ini saya tidak mahu pegang apa-apa jawatan kerana saya mahu berehat.

“Bagaimanapun saya akan hadir ke sidang Parlimen selepas ini, itu memang kena hadir mana boleh tidak hadir,” katanya selepas majlis serah tugas kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sini hari ini.

Ketika ini Khairy yang juga bekas calon Presiden UMNO tidak memegang sebarang jawatan di dalam parti selepas tewas dalam pemilihan yang menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan beliau, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahmad Zahid dipilih sebagai Presiden dengan 99 undi manakala Khairy memperoleh 61 undi dan Tengku Razaleigh sekadar 30 undi.

Sementara itu, Khairy memberitahu, perwakilan di peringkat akar umbi UMNO mahukan perubahan dan Presiden yang baharu perlu mengikut kehendak peringkat akar umbi.

“Berdasarkan kepada undi yang saya dan Tengku Razaleigh terima jelas menunjukkan bahawa perwakilan inginkan perubahan tetapi terdapat banyak pilihan ketika itu.

“Berikan sokongan kepada Presiden untuk lakukan perubahan kerana ini adalah isyarat besar kepada Presiden daripada perwakilan dan beliau perlu ikut kehendak ini,” katanya.