Bekas Penyelaras PPBM Bahagian Kluang, Arjuna Putra Ali berkata, ini kerana berdasarkan Fasal 28 perlembagaan parti, sebarang pindaan hanya boleh dibuat menerusi ketetapan yang dipersetujui tidak kurang daripada dua pertiga perwakilan yang hadir pada AGM atau perhimpunan agung khas serta harus diserahkan kepada ROS untuk mendapat kelulusan bagi menguatkuasakan pindaan tersebut.

“Oleh itu, tidak akan berlaku apa-apa pindaan tanpa melalui perhimpunan agung. Jadi, sebarang kenyataan Ketua Penerangan PPBM itu hanyalah sampah dan ingin menipu ahli-ahli parti.

“Sekiranya benar, mengapa Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh tidak membuat sidang akhbar dan mengeluarkan surat kelulusan penangguhan daripada ROS?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Arjuna Putra turut mengingatkan Kamaruddin bahawa persidangan bagi bahagian juga harus diadakan terlebih dahulu sebelum menganjurkan AGM.

“Menurut Fasal 17.2 Perlembagaan PPBM, persidangan bahagian hendaklah diadakan sekali setahun dan tidak kurang dari 60 hari sebelum tarikh AGM diadakan. Sekiranya undang-undang sendiri juga tidak fasih dan bercelaru, mana mungkin individu sebegini mampu mentadbir negara?

“Ia jelas bahawa Kamaruddin tidak layak menjawat jawatan itu dan berkemungkinan beliau adalah antara kroni-kroni Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang beliau mahu kekalkan dalam kepimpinan tertinggi parti atas kapasiti ‘kebodohan’ dan amalan kurang membacanya.

“Ada juga kemungkinan, Ketua Penerangan PPBM ini hanya menurut arahan Dr. Mahathir untuk membuat kenyataan dangkal sebegitu sekali gus menjadikan beliau kambing hitam oleh bekas Perdana Menteri itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Habis ///