Isu hangat itu timbul selepas portal berita, Malaysiakini dalam laporan eksklusif melaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed telah mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud bagi membincangkan tawaran gabungan itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Memetik kenyataan seorang pemimpin PBB yang enggan dikenali, Malaysiakini mendakwa mesyuarat berlangsung kurang 24 jam selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu turut dihadiri bekas Menteri kewa­ngan, Tun Daim Zainuddin.

Selepas mesyuarat itu, Abdul Taib dikatakan akan memanggil Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sama ada hari ini atau esok untuk bertemu dan berbincang lanjut.

Dakwa Malaysiakini, pemimpin PBB itu tidak menolak kemungkinan membentuk gabungan di peringkat negeri, yang dirancang sebelum PRU-14 untuk keluar BN jika Putrajaya ditawan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, setakat ini, Abang Johari belum mengeluarkan sebarang komen atau ke­­n­ya­­taan rasmi bagi mengesahkan sama ada ‘khabar angin’ itu benar atau hanya spekulasi.

Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Ambrose Cheng ketika dihubungi dan ditanya tentang kesahihan laporan Malaysiakini itu memaklumkan, ia hanya spekulasi.

Namun, katanya, segala persoalan tentang kedudukan dan hala tuju BN Sarawak akan dijawab oleh Ketua Menteri dalam sidang akhbar selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini Rabu depan.

“(Apa dilaporkan Malaysiakini hanya) spekulasi. Ketua Menteri akan jawab semasa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB, Rabu nanti,” demikian jawapan ringkas Ambrose menerusi aplikasi Whatsapp kepada Mingguan Malaysia.

Itu merupakan kali pertama Ketua Menteri mengadakan sidang akhbar sejak kerajaan BN Sarawak menjadi kerajaan pembangkang selepas menguasai 19 daripada 31 kerusi Parlimen dipertandingkan di negeri ini pada PRU-14, manakala Pakatan Harapan memenangi 10 kerusi, iaitu enam DAP dan PKR (empat), selain Bebas (dua).

Mesyuarat itu penting bagi membincangkan hala tuju dan masa depan BN Sarawak, khusus dalam memastikan kelangsungan segala agenda pembangunan ne­geri dan pemerkasaan sosioekonomi rakyat di negeri ini.