Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesepakatan jentera amat penting memandangkan pakatan pembangkang berkemungkinan menggunakan isu-isu peringkat nasional untuk dikaitkan dengan pelbagai dakwaan bagi merendah-rendahkan kewibawaan calon BN.

"Kita (BN) menjangkakan isu-isu nasional akan dibangkitkan sepenuhnya (oleh pembangkang) di PRK Sungai Besar untuk merendah-rendahkan kredibiliti kita. Walau bagaimanapun, kita telah bersiap-sedia untuk menangkis sepenuhnya sebarang cubaan (tohmahan) itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup bersama kepimpinan BN Selangor dan melancarkan jentera BN untuk PRK Parlimen Sungai Besar di Sekinchan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos.

Ahmad Zahid seterusnya melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan BN negeri dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam PRK selain menolak berlakunya sebarang rasa tidak puas hati mana-mana pihak yang boleh menjejaskan kempen.

Malah, beliau turut menyatakan BN akan melaksanakan sedikit kelainan dalam kempen kali ini berbanding pilihan raya umum.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi UMNO ketika ditanya mengenai usaha BN untuk menarik sokongan pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar memberitahu, perkara tersebut akan dilakukan dengan melibatkan gerak kerja serta kesepakatan bersama-sama parti komponen.

"Mengenai soal calon BN di PRK Sungai Besar, kita serahkan kepada Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menentukannya nanti," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika berucap dalam majlis pelancaran jentera BN untuk PRK Parlimen Sungai Besar menegaskan, pucuk pimpinan memberi mandat sepenuhnya kepada BN Selangor dan jentera parti di Sungai Besar untuk memastikan kemenangan.

Tegasnya, meskipun pilihan raya umum lalu BN hanya memperoleh majoriti tipis 399 undi, namun jumlah itu diyakini dapat ditingkatkan asalkan jentera parti menunjukkan kekuatan dan bersatu padu serta mengenepikan kepentingan peribadi.