Bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, calon-calon PPBM kebanyakannya terdiri daripada bekas pemimpin UMNO yang gagal mendapat tempat dalam PRU-13 dan menyertai parti itu semata-mata mahu bertanding untuk pilihan raya kali ini.

“Calon-calon tersebut sudah terbukti gagal dalam pilihan raya lepas dan mereka hanya mencuba peluang kedua dengan menyertai PPBM, namun tidak mempunyai matlamat perjuangan yang jelas.

“Bagi ahli PPBM yang baru berjinak dalam dunia politik pula, mereka tidak akan diberi peluang untuk bertanding kerana faktor populariti dan kredibiliti menarik undi dalam pilihan raya nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Hamidah, PPBM ha­nya bergantung kepada populariti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang mempunyai pengikut ter­sendiri, namun masih belum cu­kup untuk memenangi PRU-14.

Sementara itu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, kebanyakan calon yang terdapat dalam PPBM tidak mempunyai pegangan politik yang kuat dan tahap kesetiaan tinggi terhadap parti.

Katanya, bekas ahli UMNO yang menyertai PPBM berpotensi untuk meninggalkan parti itu sekiranya hasrat mereka untuk bertanding di kawasan yang diinginkan tidak tercapai.

“Saya melihat sikap tamak pemimpin yang tidak dipertandingkan nanti akan menyebabkan berlaku perpecahan di peringkat akar umbi, seterusnya parti itu terkubur.

“PPBM mungkin tidak mempunyai banyak pilihan untuk menamakan calon dalam PRU-14 kerana usia yang dianggap belum matang dan tidak mampu melahirkan pemimpin berkualiti setakat ini,” katanya.

Tambah Fakhrul Azman, ketidakstabilan politik PPBM akan menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan yang diketuai DAP dalam pilihan raya akan datang dan membuatkan penubuhan parti itu sebagai satu perkara sia-sia.