Satu kem diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan status ‘menteri paling berkuasa’ dalam Kabinet selepas Perdana Menteri, manakala satu lagi kumpulan diketuai oleh Rafizi Ramli yang disifatkan sebagai ‘penganggur’, bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Pemilihan bukan sahaja bertujuan mengisi kekosongan jawatan parti, malah bakal menentukan barisan Kabinet baharu di bawah Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menjadi Perdana Menteri.

Wartawan Utusan Malaysia, FADZIL ZAINOL menemu bual calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), AKMAL NASIR yang berada dalam kem Rafizi untuk mendapatkan perkembangan terkini pasukannya menjelang Pemilihan PKR yang bermula Sabtu ini.



UTUSAN: Kebanyakan calon yang berpihak kepada Mohamed Azmin kerana berjawatan menteri?

AKMAL NASIR: Ia memberi kelebihan kerana dapat menggambarkan mereka berkuasa untuk menawarkan sebarang jawatan dan dana. Itulah cabaran yang dihadapi oleh Rafizi dan mereka yang bersamanya dalam pemilihan kali ini memandangkan ramai (kem Rafizi) tidak mempunyai jawatan untuk menarik keya­kinan ahli parti.

Mengapa kesetiaan pihak Mohamed Azmin terhadap Anwar dipertikai?

Sewaktu Anwar mengumumkan bertanding jawatan Presiden PKR, ramai kepimpinan menyatakan sokongan, namun ada dalam kalangan mereka yang dilihat berpihak kepada Mohamed Azmin mahu Anwar dicabar atau membisu tidak menyatakan sokongan. Kelewatan Mohamed Azmin mengumumkan jawatan yang mahu ditandingi juga mencetuskan tanda ta­nya.

Wujud gerakan dalam PKR menghalang kemaraan Anwar?

Apabila keputusan Anwar mahu bertanding (PRK Parlimen) di Port Dickson, beberapa pemimpin yang dilihat memihak Mohamed Azmin mempertikaikan keputusan tersebut. Malah ada dalam kalangan mereka menyatakan kerusi Port Dickson tidak selamat, tetapi tidak pula membuka pintu kepada Anwar untuk bertanding di Selangor (kubu kuat Mohamed Azmin). Jika wujud beberapa tindakan yang tidak bersama Anwar, saya khuatir (adanya gerakan).

Selangor sebagai kubu kuat Mohamed Azmin?

Ramai juga calon yang menyokong Rafizi terdiri daripada pemimpin dan ahli Parlimen dari Selangor. Sokongan juga dijangka datang daripada ahli AMK negeri yang sebelum ini tidak berpuas-hati terhadap banyak isu yang menyebabkan mereka tersisih, misalnya dalam pelantikan ahli majlis yang dibangkitkan sebelum ini.

Apa yang anda mahu diperjuangkan jika dipilih sebagai Ketua AMK?

Daripada semua calon yang bertanding jawatan ini, saya satu-satunya merupakan Ahli Parlimen. Oleh itu, saya melihat penting sekiranya suara anak muda diangkat oleh AMK di Parlimen supaya menjadi dasar negara.