Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bahagian risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama rapat dengan pihak polis dalam siasatan kes tersebut.

“Kita tidak akan memberi kelebihan kepada sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang di negara ini. Keselamatan negara berada dalam keadaan terbaik, sebelum ini turut berlaku kes pembunuhan melibatkan rakyat asing di negara ini (kes Jong Nam).

“Anggota polis dan tentera kita sudah menjalankan amanah dengan amat baik selama ini dalam menafikan ancaman pengganas Daesh yang secara terangan mahu menggugat keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

Dalam pada itu, Hishammuddin meminta pihak tertentu agar tidak mensensasikan kejadian tersebut untuk kepentingan diri.

“Saya ingatkan jangan kita gadaikan apa yang ada (keamanan) hari ini demi kepentingan peribadi,” ujarnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang imam dan pensyarah warga Palestin sebuah universiti swasta di Malaysia, Dr. Fadi M. Al Batsh, maut selepas ditembak lebih 10 das di Jalan Meranti, Medan Idaman, Setapak, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun sedang berjalan untuk ke surau berdekatan untuk menunaikan solat subuh ditembak mati dipercayai oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di hadapan kondominium yang dihuninya. - UTUSAN ONLINE