SAIDUDDIN NASUTION ISMAIL
SAIDUDDIN NASUTION ISMAIL 

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kehadiran Dr. Mahathir amat dihargai kerana beliau biasanya tidak menyertai kempen pilihan raya kecil (PRK) termasuk semasa menjadi Pengerusi Barisan Nasional.

Katanya, Perdana Menteri setuju berkempen selepas mendengar laporan berhubung PRK Parlimen Port Dickson yang dibentangkannya semasa mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu negara semalam.

“Ini akan meredakan cakap-cakap sesetengah pihak yang kita tidak tahu apa tujuan dan motifnya tentang hubungan mereka. Kita berbesar hati kerana Dr. Mahathir sedia membantu di sebalik kesibukan jadualnya.

“Ia akan melonjakkan semangat jentera PKR untuk bekerja keras. Ceramah itu diadakan di Bagan Pinang iaitu salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri yang kita tewas dengan majoriti lebih 1,000 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Aminuddin Harun yang juga Pengarah PRK Parlimen Port Dickson bagi PH.

Dr. Mahathir semalam memberitahu, beliau akan turun berkempen di Port Dickson bagi membantu Anwar yang berdepan pertandingan tujuh penjuru di kerusi Parlimen berkenaan.

Sebelum ini sesetengah pihak mendakwa wujud usaha yang digerakkan oleh Dr. Mahathir bagi menghalang Anwar daripada menang dalam PRK itu.

Menurut Saifuddin, ceramah pada pukul 8 malam di Batu 6, Bagan Pinang itu mencerminkan solidariti pemimpin PH dalam menyokong Anwar kerana bakal dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.