Calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Kan Chee Yuen berkata, situasi itu dijangka berlaku apabila 20,000 pekerja MMC Gamuda hilang pekerjaan dan pada masa sama, tiada jaminan bahawa mereka akan diambil bekerja selepas projek tersebut ditender serta dianugerahkan semula.

“Kita menganggarkan kerugian nilai pekerjaan melebihi RM100 juta, dengan andaian pendapatan kasar purata kira-kira RM5,000 bagi setiap pekerja terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga seorang jururunding bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek pembinaan serta minyak dan gas menambah, difahamkan sebanyak 10 syarikat di Port Dickson turut terjejas akibat penamatan kontrak tersebut.

Chee Yuen turut berkongsi kesedihan dengan nasib yang menimpa 20,000 pekerja MMC Gamuda terbabit.

“Sebagai seorang pengajar, saya pernah melatih pekerja-pekerja yang hilang pekerjaan ketika berusia sekitar 40-an.

“Bayangkan situasi ketika saya melatih mereka bagaimana menulis resume dan kemahiran menghadapi temuduga. Situasi menyedihkan ini tidak dapat dilihat oleh mereka yang membuat dasar,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada Kementerian Kewangan agar mempertimbangkan semula keputusan menamatkan projek berkenaan. – UTUSAN ONLINE