Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, matlamat utama kerjasama itu adalah untuk perpaduan ummah dengan mengambil alih Putrajaya bagi memastikan Islam tidak dicemari.

Malah beliau berkata, pihaknya juga tidak memikirkan soal kedudukan atau jawatan dalam Kerajaan Pas Kelantan.

“Kita (UMNO) tidak fikir soal kedudukan sebab ada orang selalu cucuk kita, ada yang sebut bila lagi nak lantik orang itu dan orang ini.

“Percayalah kami bertujuh tidak memikirkan pun soal jawatan, ini soal penyatuan ummah seperti yang disebut dalam al-Quran, lama dah kita berada dalam keadaan sedemikian (bersengketa).

“UMNO Kelantan sudah buat keputusan, kita bukan fikir pasal kerusi, kerusi boleh berubah, dulu duduk di sini, sekarang duduk di sana, jangan hina pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul mejunjung kasih titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dalam sidang DUN di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Justeru, Md. Alwi (BN-Kok Lanas) berkata, pemimpin Pas dan UMNO perlu memberikan contoh yang baik dan jangan merosakkan Islam kerana personaliti.

“Sifat utama dalam Islam ialah integriti, kena jaga integriti, imej islam jangan dicemar jangan dicemar, imej islam tercemar sebab personaliti kita, maka orang tuduh Islam kerana si polan si polan.

“Ini cabaran yang Pas dan UMNO hadapi sebab mereka memburukan Islam,” katanya. - UTUSAN ONLINE