Perkara itu disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang berpandangan kerjasama antara dua parti itu bukanlah satu masalah kepada Pakatan Harapan (PH).

"Cabaran kami ialah bagaimana politik baharu dapat meneruskan langkahnya dan dalam proses itu ta'awun (kerjasama Pas-UMNO) terpaksa digarap agar usaha Malaysia baharu tidak terencat.

"Apa pun, biarlah persaingan sihat mengambil tempat untuk kita bersaing atas kebajikan dan kebaikkan untuk negara dan rakyat seperti seruan dari al-Quran: Fastabiqul Khairat (berlumbalah ke arah kebaikan)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kerjasama yang wujud antara kedua-dua parti itu selepas kepemimpinan UMNO menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-64 di Kuala Terengganu semalam.

Menurut Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah, kerjasama antara UMNO dan Pas bukanlah mengejutkan kerana sebelum ini kedua-dua parti itu telah pun ada hubungan intim melalui isu 'Melayu-Islam'.

Beliau mendakwa, selepas Pas keluar daripada Pakatan Rakyat, parti Islam itu telah memaklumkan dirinya tidak lagi `berpunya' dan UMNO mengintai peluang untuk `merisik'.

"Ketika dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia, Pas dan UMNO dilihat seolah-olah 'bertunang' dan hanya menanti tarikh untuk majlis perkahwinan sahaja," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE