Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau dapat melihat keikhlasan Pas untuk bekerjasama dengan UMNO terutama ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands baru-baru ini.

"Sewaktu minum pagi saya bersama dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sebuah gerai di Sungai Koyan, Cameron Highlands, datang Muslimat Pas mengedarkan risalah lima sebab kenapa perlu sokong calon daripada Barisan Nasional (BN).

"Dari situ, saya dapat lihat wujudnya persefahaman antara kedua-dua parti dan keikhlasan Pas untuk membantu serta bekerjasama dengan UMNO," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Tahunan Cawangan UMNO dan Pergerakan Sayap-Sayap UMNO Bahagian Pekan di Dewan Amphitheater Bangunan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly; Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Khairuddin Mahmud dan barisan kepemimpinan UMNO bahagian itu.

Najib berkata, demi penyatuan ummah adalah menjadi kewajipan untuk umat Islam termasuk UMNO dan Pas untuk bekerjasama antara satu sama lain. - UTUSAN ONLINE