DR. RUSDI OMAR
DR. RUSDI OMAR

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, bagi merealisasikan langkah itu, kepemimpinan kedua-dua parti itu perlu bijak memainkan peranan dalam meyakinkan ahli yang masih ragu-ragu dengan kerjasama tersebut.

Beliau berkata, kebanyakkan ahli Pas contohnya masih mempunyai syak wasangka terhadap kerjasama tersebut dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk tidak mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Kandis baru-baru ini, meskipun sudah mendapat arahan daripada pucuk kepemimpinan parti untuk memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN).

“Kerjasama itu (Pas-UMNO) memang penting, tetapi saya rasa untuk merealisasikannya akan memakan masa yang lama. Jadi ia memerlukan kebijaksanaan kepemimpinan kedua-dua parti itu bagi mendapatkan sokongan ahli mereka.

“Saya yakin jika kerjasama itu berlaku, pembangkang akan menjadi lebih kuat dan tidak mustahil gabungan Pas dan UMNO dapat mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Rusdi yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Pas dan UMNO masih mempunyai kekuatan di negeri yang majoritinya orang Melayu seperti Kedah, Perlis, Pahang, Perak, Johor dan Melaka. 

Katanya, di negeri Pantai Barat seperti Selangor pada masa ini, jelas menunjukkan kekuatan dan penguasaan Pakatan Harapan dan sebaik-baiknya Pas dan UMNO tidak meletakkan calon dalam dua PRK dalam masa terdekat ini.

“Saya juga percaya gabungan Pas dan UMNO akan menjadi lebih kuat jika para ahli dan penyokongnya turut bersatu,” katanya. - UTUSAN ONLINE