Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sudah menjadi tabiat manusia untuk berbeza pendapat, namun jangan disebabkan perbezaan parti politik, menyebabkan mereka bergaduh dan berpecah.

Malahan kata Harussani, perbezaan pendapat itu merupakan suatu kemajuan kepada manusia kerana ia mencambah banyak fikiran sekali gus melahirkan suatu yang baik.

“Orang kita ini kadang-kadang taksub pada parti tetapi sekarang ini, Alhamdulillah orang Melayu sudah matang. Kalau dulu orang UMNO sembelih ayam, orang Pas tak makan. Saya pernah tengok buang ayam satu raga dalam sungai, ini kerja bodoh.

“Agama tetap kita bersatu, politik kita boleh berbeza, tidak ada masalah. Parti politik bukan bertujuan untuk berkelahi, hanya perbezaan pendapat dalam soal mentadbir negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan wakaf al-Quran tajwid dan terjemahan kepada pelajar luar bandar di Maahad Al Ummah, Chemor di sini hari ini.

Harussani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan beliau mengenai kerjasama UMNO dan Pas dari segi manfaatnya kepada orang Islam.

Menurut Harussani, perbezaan pendapat juga bukan sahaja berlaku di zaman para sahabat nabi, malah ia juga wujud dalam senario rumah tangga.

“Ada anak ini hendak makan asam pedas, kari dan ayam goreng dan akhirnya makan bersama. Macam kita hendak ambil buah, ada orang pakai kait, ada orang pakai panjat.

“Macam-macam (kaedahnya) tetapi sama-sama hendak ambil buah itu. Kita makan sama-sama, apa susahnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE