Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohd. Raqib Abu Hassan berkata, apatah lagi kejayaan UMNO dan Pas menganjurkan satu perhimpunan umat Islam bagi membantah penghinaan terhadap Nabi Muhamad SAW serta agama Islam di sini, minggu lepas.

Kata beliau, perkembangan itu sekali gus mungkin boleh mengugat kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar, apatah lagi apabila semakin ramai menyedari beliau sering berada di luar kawasan dan negeri ini.

"Harus diingat bahawa sejak dahulu lagi politik dan pentadbiran negeri ini sering bertukar ganti pemerintahan di antara UMNO dan Pas, iaitu dua buah parti yang lebih berpengalaman berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Seperti sedia maklum juga, lubuk utama Pas adalah di Kelantan dan Kedah. Oleh itu, undi dan sokongan perpaduan orang Melayu dan Islam akan mudah diperolehi menerusi kerjasama ini (UMNO dan Pas)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu baru-baru ini, yang meragui keikhlasan kerjasama UMNO dan Pas yang kononnya dikatakan bertujuan untuk penyatuan ummah.

Menurut Mukhriz, sebelum ini Bersatu pernah 'menghulurkan tangan' untuk bekerjasama dengan Pas atas tujuan sama tetapi parti itu menolak dan sebaliknya memilih UMNO.

Beliau juga menyifatkan bahawa Pas merupakan sebuah parti yang boleh berjanji tetapi tidak boleh ditunaikan.

Sebelum itu, pada 5 Mac lalu, dikatakan ribuan umat Islam negeri ini telah berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit di sini, bagi membantah penghinaan terhadap Nabi Muhamad SAW serta agama Islam. - UTUSAN ONLINE