Ikuti wawancara lima soalan wartawan Utusan Malaysia, SHARILFUDDIN SAARI bersama Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, SYED MOHD. JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI.

UTUSAN: Apa pandangan saudara berhubung kerjasama UMNO-Pas?

SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Sejarah kerjasama erat UMNO dan Pas bukanlah perkara baharu. Sebaliknya ia telah dimulakan sejak peris­tiwa berdarah 13 Mei 1969. Sehinggalah seterusnya

SYED MOHD JOHAN RIZAL
SYED MOHD JOHAN RIZAL 

pada 1 Mac 1974, UMNO dan Pas menjadi antara parti pengasas penubuhan Barisan Nasional (BN) setelah pembubaran Parti Perikatan. Namun UMNO dan Pas berpisah pada 1978. Dan hari ini, UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama itu semula buat kali kedua.

Bagaimana saudara melihat kepentingan kerjasama dua parti Melayu terbesar ini?

Saya melihat kerjasama UMNO-Pas ini sa­ngat diperlukan bagi memastikan negara terus dalam keada­an aman dengan mengambil kira senario politik semasa yang kian menggugat ke­selamatan dan kesejahteraan rakyat.

Harus diingat bahawa kerjasama ini adalah 'Ta'awun Siyasi' iaitu atas dasar penya­tuan ummah atau kerjasama ke arah kebaikan. Ini sama sekali tidak mengetepikan hak dan kebajikan orang bukan Islam. Malah teras kerjasama ini diambil daripada model pengwujudan negara Islam Madinah seperti mana dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Ketika itu, negara berkenaan yang terdiri daripada berbilang agama dan kaum hidup aman dan damai.

Apakah komen saudara berhubung dakwaan seorang pemimpin parti politik bahawa kerjasama ini bakal mewujudkan sebuah negara yang diperintah Taliban?

Kenyataan ini jelas berbaur hasutan dan rasa benci yang nyata, tanpa menghiraukan sensitiviti rakyatnya yang berbilang kaum dan agama serta malah mampu menggugat ke­selamatan negara. Kenyataan seperti ini jika tidak diben­dung, mampu menyumbang ketidakstabilan politik negara.

Ia sekali gus boleh mengundang kemarahan dan kebangkitan yang lebih besar orang Islam serantau terutama di Indonesia dan selatan Thailand. Selain itu, menyuburkan sentimen Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam.

Apakah ke­sannya terha­dap negara se­cara amnya apa­bila kenya­taan seumpama itu dikeluarkan?

Mengambarkan Malaysia seperti sebuah negara terroris (pengganas) akan mewujudkan pandangan negatif negara asing terhadap negara kita. Tidak mustahil kedudukan Malaysia dalam ASEAN akan tergugat, menghilangkan keyakinan pelabur asing seterusnya ekonomi negara dan nilai ringgit akan terjejas seperti yang terjadi di negara-negara teluk.

Apakah tindakan yang wajar diambil terhadap pe­mimpin mengeluarkan kenya­taan seperti ini (menghasut)?

Tindakan tegas perlu diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelak kebangkitan majoriti rakyat terutama­nya orang Melayu dan Islam.

Jika tiada tindakan yang dikenakan, ia mampu me­nyum­bang kepada lebih ba­nyak kenyataan-kenya­taan negatif dan berbaur hasutan. Ini seperti mana yang telah berlaku dalam isu penghinaan sistem beraja dan Rasulullah SAW.