Menurut Pengerusinya, Datuk Johari Abdul, semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu tanpa kerjasama Pas, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan memperoleh majoriti 4,613 dengan menewaskan PKR tetapi kali ini, berkurangan kepada hanya 4,510 undi sahaja.

Beliau sehubungan itu menolak andaian bahawa kerjasama UMNO-Pas telah memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), khususnya Mohamad dalam mempertahankan kerusi tersebut.

“(Sebaliknya) Saya lebih percaya bahawa kemenangan BN yang diwakili Tok Mat (Mohamad) adalah kerana kekuatan individu tersendiri kerana pernah menjadi Menteri Besar selama 15 tahun.

“Begitu pun Tok Mat tidaklah terlalu kuat kerana gagal mencapai majoriti 10,000 undi dan ini menyebabkan kita yakin telah membuat pemilihan calon PH yang terbaik (Dr. S. Streram),” katanya di sini, hari ini.

Dalam PRK DUN Rantau semalam, Mohamad menewaskan Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas meraih 10,397 undi berbanding pencabarnya itu, 5,887 undi.

Johari seterusnya sekali lagi menolak andaian bahawa kemenangan BN di PRK DUN Rantau membuktikan kerajaan PH telah kehilangan sokongan rakyat kerana hakikatnya jika mengambil keputusan dalam beberapa PRK sebelum ini iaitu selepas PRU-14, kedudukan antara PH dan pembangkang masih setara.

“Kita akui ada isu-isu yang tidak mampu dan gagal dijawab PH tetapi sokongan terhadap PH masih kuat,” katanya lagi.

Untuk rekod, dalam keseluruhan enam keputusan PRK tersebut iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, keputusan berpihak kepada BN manakala di PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong dimenangi oleh kerajaan PH. - UTUSAN ONLINE