Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam era kian mencabar kini, apa yang penting Pas mesti berperanan sebagai pemimpin dalam menjayakan agenda perpaduan itu dengan Islam mesti menjadi teras kepada segala bentuk kerjasama manakala al-Quran serta sunnah sebagai rujukan.

Beliau memberitahu, walau apa pun bentuk kerjasama yang berlaku kelak, Pas mesti memastikannya memberi keuntungan kepada Islam dan menjamin ke­sejahteraan ummah.

“Kita boleh bersikap keras de­ngan lawan politik kita yang beragama Islam, semata-mata kerana rekod kejahilan mereka, pengaruh sekular dalam pemikiran mereka dan juga catatan amalan korupsi yang pernah dilakukan.

“Inilah medan dakwah yang bawa agenda ‘rahmatan lil aalamin’ yang sebenar, dalam soal perpaduan dengan UMNO ia bukanlah perkara thawabit yang menyebabkan kita tidak boleh berganjak dan sanggup membiarkan maslahah ummah terpinggir oleh sentimen politik sempit,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Ke-57 sempena Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang bermula hari ini di Hotel Permai Inn di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad turut menyampaikan ucaptama bertajuk Islam Jalan Penyelesaian.

Yang turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan kepemimpinan tertinggi Majlis Syura Ulama termasuk Timbalan Ketua Dewan Ulama yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang.

Hashim seterusnya berkata, hubungan serta kerjasama UMNO-Pas mula terhasil dan positif sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan di DUN Seri Setia tempoh hari.

Menurutnya, tanpa mempedulikan tohmahan serta fitnah jahat musuh politik, Pas dan UMNO tetap menjalin perpaduan Me­layu demi mempertahankan agenda Islam serta maruah bangsa.

“Kita sedar tentang kebobrokan politik yang pernah dilakukan UMNO selama lebih 60 tahun jadi kerajaan, tetapi dengan jiwa daie yang ada pada kita, kita harus berusaha perbetulkan kefahaman pemimpin dan ahli UMNO terhadap Islam dengan cara mendekati mereka.

“Kita tidak boleh lihat UMNO dan ahli-ahlinya sebagai musuh, mereka adalah sasaran dakwah kita sehingga kita boleh kembalikan mereke ke landasan Islam,” jelasnya.