Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakhrurazi berkata, pihaknya tiada hubungan politik dengan mana-mana parti lain selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas.

Tambahnya, Pakatan Harapan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah perlu ada keberanian untuk menyatakan status kekuatan dan kedudukan mereka dalam menghadapi PRU-14.

‘‘Menjadi satu jenaka apabila terdapat satu tulisan dalam portal maya menyatakan bahawa Pas Kedah menimbang kerjasama dengan Pakatan Harapan sedangkan sosok Pakatan Harapan itu masih dibelenggu dengan pelbagai persoalan seperti persediaan jentera, jumlah cawangan parti komponen, kekuatan akar umbi dan status pendaftarannya yang masih kabur.

‘‘Kenyataan beberapa pemimpin parti komponennya yang sering bercanggah antara satu sama lain menambahkan lagi kekalutan,’’ katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang laporan sebuah portal yang mendakwa bahawa pimpinan Pas di tiga negeri termasuk Kedah dikatakan menimbang untuk mendapatkan autonomi bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam PRU akan datang.