Mesej yang disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang ditujukan kepada kepemimpinan BN dan UMNO itu membawa makna yang cukup mendalam.


Jelas sekali beliau tidak mahu khidmat yang diberikan kepada rakyat mengikut 'musim buah' atau dalam erti kata lain 'lebat' semasa musim tertentu sahaja.


Sebaliknya tanggungjawab itu perlu dilaksanakan pada setiap masa bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela. Sebab itu beliau mahu kepemimpinan parti itu terus memperkuatkan jentera membantu rakyat dalam membela kebajikan mereka.


Malah, beliau mengingatkan supaya usah mempedulikan kelemahan dan pertelingkahan pembangkang kerana itu bukannya keutamaan dalam perjuangan BN serta UMNO.


"Penting bagi kita adalah memperkuatkan jentera, wakil rakyat teruskan kerja sampai habis. Begitu juga bahagian teruskan dengan kerja-kerja membantu masyarakat seperti pasukan yang pergi ke kampung-kampung menyampaikan sumbangan.


"Pedulikan pembangkang, yang penting kita bekerja. Orang boleh bercakap apa sahaja. Bagi saya, kita hendak tolong orang biarlah berbaloi maknanya dalam menghulurkan sumbangan.


"Kalau bagi hamper contohnya, biarlah ada beras 10 kilogram, minyak lima kilogram, gula lima kilogram dan tepung lima kilogram agar boleh dimanfaatkan seminggu dua bahan makanan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri  Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Warga Kem Galing di Markas Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Galing Kuantan, baru-baru ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu turut mengingatkan kepemimpinan BN dan UMNO bahawa setiap pemberian sumbangan bukan sekadar memberi, tetapi lebih daripada itu supaya hasrat membela rakyat tercapai.


"Kalau sekadar memberi bantuan kepada orang memerlukannya dengan sekampit kecil atau beras dua kilogram, setakat hendak menunjuk-nunjuk, lupakan sahaja. Itu tidak boleh.


"Kalau orang ramai suka kita, maknanya mereka suka parti kita. Parti kita boleh menang tetapi kalau orang tidak suka kita, dia akan benci pada parti kita, parti kita akan susah," ujarnya.


Beliau mahu setiap kepimpinan BN dan UMNO teruskan bekerja dengan ikhlas dan komited untuk membantu sera membela nasib anak bangsa. - UTUSAN ONLINE