Berbanding Barisan Nasional (BN) yang menjalankannya secara tersusun mengikut setiap negeri, pengumuman calon-calon gabungan pembangkang PKR pula dibuat secara cacamarba, tergesa-gesa serta berbeza-beza mengikut parti dan negeri.


Dengan DAP sudah awal-awal mengesahkan tempat mereka tandingi, PKR, PPBM dan PAN, masing-masing mengumumkan calon parti mereka masing-masing mengikut tempat dan masa berbeza yang mereka sendiri tentukan.


Kelibat yang sanggup dipertaruhkan hanya pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti terbabit dan keseragaman penggunaan logo PKR namun tidak kelihatan kekuatan dari segi kebersamaan.


Kini, segala muslihat gabungan pembangkang PKR telah terlerai kerana letusan demi letusan menampakkan penolakan calon oleh ahli-ahli parti masing-masing di peringkat akar umbi.


Drama perebutan bukan lagi isu dalaman DAP, PKR, PAN, PPBM, malah persengketaan sesama parti-parti terbabit menjadi terlalu ketara kerana tidak berpuas hati soal pembahagian kerusi. 


Parti-parti gabungan pembangkang PKR pada dasarnya boleh memilih lokasi dan tempat yang sama bagi pengumuman calon di setiap negeri mereka tandingi tetapi mereka tidak memilih demikian.


Permainan wayang gabungan itu adalah hendak menonjolkan mereka adalah empat parti yang bersatu hati tetapi rakyat mengetahui bahawa perkara mudah seperti umum calon secara bersama pun mereka sukar lakukan. - UTUSAN ONLINE