Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah memadai dengan memanfaatkan segala kajian yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berhubung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 

“Orang muda hanya mengharapkan agar kadar bantuan dinaikkan setara dengan apa yang diperoleh daripada kerajaan BN iaitu sebanyak RM450,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook beliau, malam tadi.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu, BSH sebanyak RM100 akan diberikan kepada individu di bawah kategori bujang pada hujung Mac ini.

Katanya, bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima dan bantuan berkenaan memberi manfaat kepada lebih tiga juta individu dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Menurut Guan Eng, berhubung dengan bayaran selanjutnya, kadar bantuan BSH bagi 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum ianya dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, pengumuman Guan Eng untuk memberikan BSH kepada golongan bujang berpendapatan rendah menyerlahkan hakikat bahawa kerajaan PH hanya juara dan pakar mengubah label atau jenama segala dasar serta polisi diperkenalkan oleh kerajaan BN.

“Kalau dahulu di bawah skim BR1M yang diperkenalkan pada 2013, golongan bujang berpendapatan rendah menerima RM450 didakwa sebagai dedak, hari ini kerajaan PH terpaksa akur bahawa skim tersebut amat membantu meringankan bebanan dan mampu menjana kesan gandaan ekonomi.

“Cuma bezanya kini jenama BR1M ditukar kepada 'BaSaH' dan kadarnya jauh lebih rendah berbanding dulu yang dikecam dengan pelbagai tuduhan,” katanya. - UTUSAN ONLINE