MUKHRIZ MAHATHIR
MUKHRIZ

Malah kata Mukhriz, beliau tidak melihat lawatan tersebut sebagai satu percutian keluarga semata-mata kerana ia turut disertai anak dan isterinya.

“Saya tidak nampak ia satu masalah memandangkan ia tidak langsung menggunakan peruntukan kerajaan malah perlu saya mohon keizinan daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Surat keizinan jelas menyatakan lawatan rasmi itu hanya melibatkan saya dan isteri sahaja bersama dua orang pegawai bagaimanapun, saya sendiri membiayai belanja perjalanan anak saya termasuk penginapan,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang dakwaan sesetengah pihak yang pertikaian lawatan Menteri Besar itu ke Amerika Syarikat dan United Kingdom tersebut turut disertai anak dan isterinya.

Mukhriz turut menafikan lawatan tersebut sebagai satu pembaziran kerana ia bertujuan untuk mencari peluang baharu bagi Kedah terutama berkaitan pemuliharaan hutan.

Sementara itu dalam perkembangaan lain, beliau mengakui terdapat beberapa projek mesra rakyat terpaksa ditangguhkan berikutan arahan daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, penangguhan tersebut membabitkan beberapa projek seperti seperti projek Hospital Pendang, projek loji rawatan air, menaiktaraf jalan dan pembaikan masjid.

“Bagaimanapun jumlah projek yang ditangguhkan itu tidak sampai 500 projek seperti yang digembar-gemburkan beberapa pihak.

“Kerajaan negeri telah membuat penilaian terhadap beberapa projek dan mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan pelaksanaan projek yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE