Perdana Menteri berkata, Proton perlukan sokongan dan dokongan daripada kerajaan untuk syarikat itu pulih dan menegaskan kerjasama dan perkongsian strategik antara DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) dan Kumpulan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely) merupakan antara langkah pemulihan.

Menurutnya, keadaan yang menimpa Proton hari ini disebabkan model keretanya berpaksi pada semangat nasionalisme dan bukannya atas asas perniagaan.

“Kita tidak akan biarkan Proton lenyap, tapi Proton perlu sokongan, dokongan dan bantuan kerajaan untuk dipulihkan dan kerajaan akan pulihkannya bersama-sama DRB-Hicom.

“Sebab itu kalau ada orang kata kerajaan tak tolong Proton, itu pendustaan. Kalau Proton nak maju, mereka kena pilih rakan strategik tak kira siapa dan dari mana. Sebab itu saya percaya Geely yang dipilih oleh Proton sebagai pilihan yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kluster Automotif Nasional @Proton City di Kompleks Sukan Proton City Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN ONLINE