Sesi pertama penyampaian sumbangan membabitkan 1,251 pelajar cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diadakan semalam.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Bharu, Madihah Ab Aziz berkata, sumbangan itu adalah sebagai insentif kepada pelajar terbabit supaya berusaha lebih gigih dalam pelajaran.

“Sumbangan ini bertujuan memberi galakan dan penghargaan kepada mereka supaya berusaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik,’’ katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Exco Pemuda MCA, Chua Hock Kuan.

Wang ihsan yang diperuntukkan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) itu bernilai RM306,650 dengan setiap pelajar cemerlang UPSR menerima RM100 , PT3 (RM150), SPM (RM250) dan STPM masing-masing menerima RM300.

Salah seorang ibu penerima , Nor Fatini Mansur, 44, mengucapkan terima kasih di atas penghargaan ini sekaligus menaikkan semangat pihak ibu bapa untuk terus berusaha gigih mendidik anak agar terus cemerlang di masa hadapan.

“Tahun ini merupakan tahun kedua anak saya menerima penghargaan ini dan ianya memang menjadi perangsang kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

“Sumbangan ini akan diguna sebaik mungkin sebagai persediaan mereka untuk belajar lebih tinggi di masa hadapan, “ katanya.

Salah seorang pelajar, Sarah Yasmin Hanisham, 13, yang memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam UPSR berkata, sumbangan ini merupakan perangsang baginya untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan bagi PT3 pula pada masa hadapan. - UTUSAN ONLINE